Assalammualaikum, selamat pagi. Sudah 1.37am, dan saya masih tidak mengantuk. Seisi rumah sudah lena dibuai mimpi. Esok kerja, sekali lagi Monday Blues. Yes, always! Buruk perangai. Serius, saya sentiasa berusaha untuk memasang niat bekerja kerana Allah tapi saya manusia biasa. Sering leka dan alpa. Semoga terus istiqamah agar saya sentiasa tenang, ceria dan berlapang dada setiap hari. InsyaAllah. Begitu juga buat teman-teman sekalian. Kerja itu satu ibadah. Semoga amalan dan ibadah kita diberkati dan diredhai oleh Allah SWT. Amin.
2011, usia saya sudah menjangkau suku abad dan tahun ini juga saya akan mendirikan rumahtangga bersama dengan insan yang saya cintai. Dulu bapa selalu berkata, "Cinta sahaja tak mencukupi. Kalau tak ada kerja, tak ada duit, nak bagi anak isteri makan apa? Pasir?" Sebagai seorang anak yang lurus, saya cuma tahu gelak dan mengangguk kononnya setuju. Emak dan bapa pernah bagitau, "Lepas 2 atau 3 tahun kerja, nak kahwin, kahwinlah." Maksudnya, mak bapak tak nak saya lepas habis belajar terus gatal nak kahwin. Bapa selalu usik, "Masak tak pandai, ada hati nak kahwin." Dan lebih menggelikan hati bila mak dan bapa bagi pembayang tak berapa jelas, mereka cakap, "Ish. Ni yang buat aku tak percaya Yatie nak kahwin." Haha.
Sesungguhnya kita merancang, Allah yang menentukan segalanya.Pada hari gilang-gemilang saya nanti, saya sudah bekerja lebih dari setahun selepas menamatkan pembelajaran di UUM dan juga genap setahun kami mengikat tali pertunangan. Saya masih simpan SMS dari encik tunang bertarikh 23 Januari 2009,
"25 tahun nanti tak ada aral melintang kite kahwin." Alhamdulillah, diperkenankan oleh Allah doa kami dan direstui oleh mak bapa kedua-dua belah pihak. Dan kini kami sedang meniti hari-hari dengan rasa resah, debar dan terselit kegembiraan. Teman saya,
Zulliana sudah selesai semuanya, cuma tinggal majlis bertandang. Dan mendengarkan kebahagiaan beliau sekarag membuatkan saya semakin teruja.
*gedik*Dulu, saya tak pernah berimaginasi tentang suasana hari bahagia saya. Serius. Pada pendengaran saya, sering terngiang-ngiang akan nasihat atau bebelan ustaz bahawasanya bersanding itu akan menimbulkan dosa. Kenapa? Kerana pada ketika itulah terjadinya umpat mengumpat, dengki mendengki, keji mengeji. Tetapi, tidak semua yang kita mahukan akan menjadi milik kita. Kasih emak membawa ke syurga, kasih bapa sepanjang masa - dipetik dari filem Cuti-Cuti Cinta. Jadi, haruslah diikuti. Lagipun, saya anak pertama dan sudah tentu inilah kenduri yang pertama dalam keluarga saya. Dan bila dinilai dan ditimbang kembali, buat atau tidak, kedua-duanya juga bakal mengundang kepada dot dot.
Dan atas kerana itulah saya tidak pernah berangan untuk bertemakan apa, warna apa, bagaimana. Tidak pernah. Bila ditanya, saya akan berterus-terang berkata tak tahu. Berbeza dengan tiga sahabat sekampung saya yang penuh dengan impian dan juga tiga bekas roommate kesayangan saya dulu. Maka, saya serahkan kesemuanya kepada emak dan bapak selain pemilihan warna dan pelamin. Lagipun, mak dan bapa cakap ini bukan kenduri saya tapi kenduri mereka. Sebabnya, saya balik cuma nak bersanding atas pelamin sahaja. Haha. Pasrah sajalah. Sudah susahkan mereka, tak perlulah nak meminta dan terlalu cerewet. InsyaAllah, 'air tangan' mak bapa adalah lebih baik berbanding saya.
Kenapa tak mudah? Sebaik sahaja kamu membuat keputusan dan seterusnya diizinkan, hadirlah segala macam rintangan, dugaan dan cabaran atau perkataan hebatnya - masalah. Dan pada ketika itulah saya mula pening-pening lalat, kahwin bukan setakat kamu mahu hidup bersama. Untuk berada pada fasa kedua selepas bertunang, kita harus melalui satu hari yang memerlukan modal yang sangat banyak. Bukan itu sahaja, persediaan untuk satu hari itu menuntut perhatian dan masa yang lebih dari semua. Adalah menjadi kewajipan pasangan pula untuk memikirkan hari-hari yang akan datang selepas 'satu hari' tersebut. Ya, kadang-kadang saya rasa sangat serabut. Pening. Risau. Gelisah.
Semua itu luaran. Dalaman? Semakin dekat tarikh semakin banyak perkara bermain dalam fikiran. Adakalanya, saya berperang dengan hati dan perasaan sendiri. Sekarang saya sangat faham kenapa orang cakap, "kamu kena bersedia dari segi fizikal, mental dan juga emosi." Ya, saya sedang mencuba untuk memastikan keseragaman semua ini. Walaupun, saya rasa sangat susah. Namun, saya bersyukur sebab mak bapa serta encik tunang sentiasa menyokong saya dari belakang biarpun adakalanya saya memberontak. Memberontak sebab adalah sukar untuk melentur buluh, takut patah pula. Haha. Saya yang manja, degil dan 'bengkeng'.
Apa pun, saya tidak pernah lupa untuk berdoa agar dipermudahkan segala urusan dan juga kesejahteraan keluarga. Memohon agar saya memiliki keluarga yang bahagia seperti keluarga saya. Mak dan bapa, kalian merupakan inspirasi saya. Buat encik tunang, saya harap kamu tidak akan pernah berputus asa untuk membimbing saya. Kamu semua tunjang belakang saya. Love, D Yatie.